Palestine


LAPORAN JAULAH ILMIAH KE KUANTAN

on Friday, April 15, 2011
LAPORAN  JAULAH  ILMIAH  KE  KUANTAN


Tarikh      : 6 – 8 April 2011
Tempat    : Kuantan, Pahang
Peserta    : Pelajar  Tahun  4  Banin  Banat ( 32 orang )
Pengiring  : En. Al-Manzil
                    Cik Nurul Akmaliza


TUJUAN
           Lawatan ini diadakan bertujuan untuk menghadiri Majlis Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan  tahun 1432 H / 2011 M. Pada tahun ini, negeri Pahang telah dipilih untuk menjadi tuan rumah Majlis Menghafaz Al-Quran kali ke-32. Majlis yang bermula pada 30 Rabiul Akhir – 4 Jamadil Awal bersamaan 4 – 8 April 2011 ini telah diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
            Di samping itu, lawatan ini juga bertujuan untuk memberikan sokongan kepada para peserta yang mewakili negeri Terengganu terutamanya sahabat kami, iaitu Nurul Sya’abaniah binti Yahaya dan Umaimah binti Tajul Arifin. Mereka telah mewakili Terengganu bagi kategori 10 juzuk perempuan dan 20 juzuk perempuan.
            Selain itu, lawatan ini juga diharap dapat meningkatkan semangat kami untuk lebih bersungguh-sungguh dalam menjaga Kalamullah serta menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan selepas mendapat suntikan semangat dan melihat kesungguhan para huffaz yang menjadi peserta majlis ini yang merupakan wakil daripada seluruh Malaysia.
             Akhir sekali, lawatan ini juga bertujuan ‘makan angin’ di negeri Pahang khususnya Kuantan. Antara tempat-tempat yang sempat kami kunjungi ialah Teluk Cempedak, KIPSAS, dan sebuah pusat membeli-belah di Kuantan iaitu Kuantan Parade.




LAPORAN  PENUH
Rabu, 6 April 2011.
             Perjalanan yang pada awalnya dijangka bermula pada jam 7.30 pagi terpaksa ditunda pada pukul 9.00 pagi atas beberapa masalah teknikal. Perjalanan dari IQT ke Kuantan mengambil masa selama 7 jam iaitu bermula pada jam 9.00 pagi dan tiba di tempat penginapan pada jam 4.00 petang. Sepanjang perjalanan, tiada sebarang masalah berlaku dan perjalanan lancar.
             Pada jam 11.15 pagi, kami singgah di rumah salah seorang sahabat untuk menikmati makan tengahari yang secara sukarela disediakan oleh keluarganya. Atas permintaan pihak tuan rumah, bacaan tahlil dan Yasin diadakan selepas selesai menikmati hidangan. Kami  memanjatkan seinfiniti kesyukuran kepada Allah kerana dapat juga memberikan sedikit khidmat yang tidak seberapa sebagai balasan atas jasa baik pihak tuan rumah.
             Akhirnya, pada jam 4 petang, kami tiba di tempat penginapan iaitu homestay yang terletak di Taman Sri Mahkota Aman. Pelajar lelaki dibahagikan kepada 2 kumpulan dan menginap di rumah yang berasingan manakala pelajar perempuan pula menginap di rumah yang lain.   
            Agenda pertama dimulakan iaitu menghadiri majlis hafazan bagi sesi malam. Sesi malam bermula pada 8.45 malam dan berakhir pada jam 11.30 malam. Antara persembahan yang menarik perhatian kami ialah persembahan daripada seorang peserta termuda iaitu adik Muaz bin Nadsarudin yang mewakili negeri Perlis. Beliau baru berusia 11 tahun dan sedang menuntut di Maahad Tahfiz Perlis. Beliau mewakili Perlis bagi kategori 20 juzuk lelaki.
              Majlis bersurai pada jam 11.30 malam dan kami terus pulang ke homestay.

7 April 2011, Khamis
              Aktiviti pada hari ini dimulakan dengan menikmati sarapan pada pukul 7.30 pagi di warung berhampiran. Selepas itu, kami terus ke Dewan Jubli Perak bagi menghadiri majlis sesi pagi. Kami amat bertuah kerana seramai 5 orang peserta Terengganu akan mempersembahkan bacaan hafazan mereka pada hari ini.
             Peserta ke-4 iaitu wakil 20 juz perempuan, Umaimah binti Tajul Arifin telah membaca dengan amat baik namun beliau tidak dapat menjawab soalan akhir. Kemudian wakil Terengganu bagi kategori 30 juzuk lelaki pula mempersembahkan bacaan, diikuti wakil 30 juzuk perempuan, wakil 10 juzuk lelaki dan akhir sekali, wakil 20 juzuk lelaki.


              Pada jam 11.30 pagi, kami tinggalkan majlis dan meneruskan agenda lawatan iaitu bersiar-siar di Pantai Teluk Cempedak. Kami berada di sana selama 1 jam menikmati keindahan alam ciptaan Allah. Terasa diri begitu kerdil tatkala teringatkan firman Allah, mafhumnya ;
             “ Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir tidak  akan melaksanakannya (kerana amat berat ), lalu dipikullah amanat itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh”.
              Kemudian kami terus pulang ke rumah. Masa yang begitu terhad menyebabkan kami  menghargai setiap detik dan menggunakan dengan sebaiknya untuk menghabiskan muraja’ah al-Quran. Kami sedar, walau dalam apa keadaan sekalipun, tidak akan kami biarkan hari kami berlalu tanpa membaca walau sepotong ayat Allah apatah lagi setelah mendapat suntikan semangat selepas melihat peserta-peserta yang begitu hebat dan ‘masyi’.
             Aktiviti yang telah dirancangkan pada petang itu berjalan dengan lancar iaitu ziarah ke rumah salah seorang pelajar banat. Melalui ziarah seperti ini, ikatan ukhuwah antara kami dapat dieratkan di samping dapat mengenali ahli keluarga sahabat kami itu.  
             Setelah berada agak lama di rumah beliau, kami meminta diri untuk pulang kerana pada malam itu kami akan pergi semula ke dewan untuk menghadiri majlis bagi sesi malam. Sebelum itu, kami solat jama’ di Masjid Kolej Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (KIPSAS ).
             Malangnya, pada malam itu, perancangan kami terpaksa dibatalkan atas beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Jadi, kami terus pulang ke homestay. Sesetengah pelajar mengambil peluang ini untuk mengulang al-Quran, membuat latihan MUET, dan sebagainya.

8 April 2011, Jumaat

              Walau di mana kami berada, adab dan adat huffaz tidak kami lupakan. Qiamullail diadakan secara nafsi-nafsi seawal jam 4.30 pagi. Setelah itu, kami teruskan dengan solat Subuh berjemaah, bacaan ma’thurat dan bacaan surah Kahfi. Pada pukul 7.00 pagi, kami bersarapan dahulu sebelum pergi ke Dewan Jubli Perak untuk menghadiri Majlis Hafazan bagi sesi pagi. Tatkala sampai di sana, peserta Terengganu telahpun memulakan bacaan bagi soalan pertama. Peserta ini mewakili Terengganu bagi kategori 10 juzuk perempuan.
           Majlis berhenti rehat pada jam 10.00 pagi. Kami mengambil peluang tersebut untuk mengambil gambar beramai-ramai bersama Tan Sri Syaikh Haji Ismail bin Muhammad, Imam Besar Masjid Negara, W.P Kuala Lumpur yang merupakan pengasas Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu suatu ketika dahulu.

          Majlis diteruskan dengan menjemput peserta perempuan bagi kategori 30 juzuk yang mewakili Negeri Selangor iaitu Farah Nabilah binti Amindin. Peserta ini juga telah membuatkan kami takjub kerana usia beliau yang baru mencecah 16 tahun begitu lancar menjawab soalan-soalan yang diajukan,bukan sahaja dari segi hafazan, malah soalan dari bahagian tafsir juga dapat dijawabnya dengan baik.
           Pada jam 11.30 pagi, kami pulang ke homestay untuk berkemas dan bersiap-siap untuk ‘chek-out’. Pada jam 3.00 petang, program diteruskan dengan mengunjungi  Kuantan Parade . Selepas itu, kami pergi ke Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 untuk bersolat dan bersiap untuk menghadiri Majlis Penutup Hafazan Peringkat Kebangsaan pada jam 8.00 malam.
           Seperti yang dijangka, ribuan hadirin yang kebanyakannya merupakan penduduk setempat, pelajar – pelajar sekolah sekitar Kuantan, pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Kuantan, pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Tengku Ampuan Afzan dan sebagainya, telahpun memenuhi tiga perempat dewan.





            Keputusan Majlis Hafazan Al-Quran kali ke-32 adalah seperti berikut :


1.      Kategori 1-10 juzuk

1.      Ahmad Zaki bin Md. Yusof                   mewakili            negeri Kedah
2.      Mohd Azis Badli bin Azmi                     mewakili            negeri Kelantan
3.      Mohd Rashid Ridha bin Mohd Shukri     mewakili          Wilayah Persekutuan

1.      Radhiah binti Ab Rahman                   mewakili              negeri Kelantan
2.      Putri Nur Nadia binti Bakri                  mewakili             Wilayah Persekutuan
3.      Farah Faqihah binti Mohd Iqbal          mewakili              negeri Pahang


2.      Kategori 1-20 juzuk

1.      Muhammad Khairu Razihin bin Abd Razak      mewakili        negeri Sabah
2.      Muhammad Syafee Salihin bin Hassan            mewakili        negeri Kelantan
3.      Razlan bin Ramli                                              mewakili        negeri Sembilan

1.      Farihah binti Zulkifli                            mewakili              Wilayah Persekutuan
2.      Nur Amalina binti Azharuddin            mewakili               Melaka
3.      Siti Hajar binti Wan Ibrahim                mewakili               negeri Pahang


3.  Kategori 1-30 juzuk

1.      Muhammad Haris Syazwan bin Mohd Ariffin        mewakili              Kelantan
2.      Khairul Anwar bin Mohd Dahnan                          mewakili              Perak
3.      Muhammad Ismail bin Hassanuddin                     mewakili              Pahang

1. Farah Nabilah binti Amindin                                    mewakili              Selangor
2. Jueziatul Husna binti Ariffin                                mewakili            Terengganu
3. Nurul Atikah binti Sharudin                                     mewakili               Perak
   

             Setelah tamat majlis, kami terus pulang ke Terengganu pada jam 11.00 malam. Alhamdulillah, kami selamat tiba di IQT pada jam 3.30  pagi.

0 comments:

Post a Comment

Followers

Some Memories

Dia Kekasih Allah