Palestine


Cahaya Islam Bersinar Di Korea Selatan

on Friday, December 23, 2011
Dicatatkan oleh: Dr. Zainur Rashid

Salam
 Doktor. Saya Ahnaf Abdul Qais dari Seoul, Korea. Boleh doktor datang ke sini untuk memenuhi jemputan kami sebagai penceramah? Komuniti masyarakat Malaysia di Korea akan mengadakan program kemuncak Demi al Aqsa pada Novemver 2011 ini. Begitulah di antara teks ringkas yang saya terima daripada saudara Ahnaf Qais, seorang jurutera Malaysia yang kini bekerja di Seoul, Korea Selatan.

Ini adalah kunjungan sulung saya ke Korea Selatan bagi memenuhi undangan ceramah di sana disamping membuat liputan mengenai perkembangan Islam di bumi Sonata ini.

Seoul, Ibu kota Korea Selatan yang merupakan kawasan metropolitan yang ke 2 besar di dunia

Alhamdulillah, rancangan ini menjadi kenyataan apabia saya mula bermusafir dengan pesawat MH 67 ke Seoul dengan penerbangan yang mengambil masa selama 7 jam. Saya selamat mendarat di awal pagi pada jam 6.45 pagi dan agak teruja dengan kedinginan suhu paginya yang mencecah 5’C di kala musim sejuk sebenar belum pun menjelang tiba.

Seoul Central Mosque, Itaewon

Setelah berehat buat seketika di penginapan yang disediakan, saya memulakan lawatan ke Korea ini dengan bersolat Jumaat di Seoul Central Mosque di Itewon. Subhanallah, masjid ini merupakan sebuah Pusat Islam dan masjid jamek yang besar lagi tersergam indah di atas sebuah bukit di tengah-tengah ibu kota Korea ini.

Saya terpaksa mencuri peluang masuk dengan berhimpit sebelum berjaya ke dalam dewan solat masjid kerana jemaah yang hadir telah pun memenuhi ruang solat sehingga melimpah ke bahagian luar masjid. Kelihatan khatib tempatan yang bernama Ustaz Sulaiman sedang berkhutbah dengan penuh bersemangat di dalam bahasa ibunda iaitu bahasa Korea. Para Jemaah yang hadir kelihatan khusyuk mendengar khutbah yang disampaikan.

Khutbah Jumaat di Seoul Central Mosque

Jelas kelihatan bahawa mereka mempunyai asal latar-belakang yang berbeza, seolah-olah kami sedang berada di sebuah perhimpunan umat Islam antarabangsa. Selain daripada masyarakat tempatan dari Korea, ramai juga kelihatan orang-orang Islam yang berketurunan Pakistan, Bangladesh, Turki, Arab, Malaysia dan Indonesia. Selepas solat Jumaat, saya mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan masyarakat Islam di sini.

Saya juga bersempatan melawat Seoul Central Mosque dengan lebih dekat lagi. Pejabat operasinya nampak kemas dan kakitangannya sentiasa kelihatan mesra menyambut kedatangan tetamu dari dalam dan luar Negara. Kelihatan juga sebuah sekolah rendah Islam yang telah dibangunkan bagi memberikan pendidikan Islam secara khusus kepada anak-anak Muslim terletak di perkarangan kawasan masjid ini.

Majoriti penduduk Korea Selatan yang berjumlah seramai 48.8 juta orang ini secara rasminya tidak menganut sebarang agama. Manakala umat Islam pula adalah kaum yang begitu minoriti di sini. Namun begitu, syiar Islam semakin hari semakin terserlah perkembangannya. Pada setiap minggu dan bulan, semakin ramai rakyat Korea yang membuat keputusan untuk memilih Islam sebagai agama mereka.

Kini, penduduk beragama Islam di negara yang terkenal dengan produk ginseng itu dianggarkan mencecah kira-kira 140,000-150,000 orang termasuk pelajar dan pekerja yang menetap di situ. Daripada jumlah ini, kira-kira 35,000 orang adalah Muslim daripada kalangan rakyat tempatan Korea Selatan.

Perkembangan Islam di situ dapat dilihat dengan jelas apabila semakin banyak masjid dan surau dibina di beberapa penempatan penduduk Islam. Ia bukan hanya berfungsi sebagai tempat menunaikan solat, bahkan sebagai pusat pengajian dan penyebaran Islam. Apa yang jelas, dakwah yang dijalankan oleh imam dan pemimpin agama terdahulu dan sekarang terutamanya di kalangan rakyat tempatan telah berjaya menyedarkan masyarakat Korea untuk memilih agama Islam dengan rela hati.

Menurut sejarah, Islam telah mula bertapak di Korea sejak ratusan tahun dulu tetapi subur bercambah di antara tahun 1950-1953 yang lalu ketika negara itu berada di dalam kancah peperangan dan rakyatnya berada di dalam keadaan yang sangat miskin. Risalah Islam mula dibawa dan kemudiannya disebarkan oleh beberapa orang tentera dari battalion ketenteraan Turki yang bertugas di Korea.

Kini, penyebaran agama Islam di negara ginseng ini banyak dibantu oleh Korean Muslim Federation (KMF) yang telah ditubuhkan bagi menangani kebajikan dan dakwah kepada masyarakat Islam setempat serta kepada rakyat Korea yang lainnya.

Seoul Central Mosque yang merupakan masjid yang pertama dibina di Korea Selatan iaitu pada 1976, telah dipilih oleh KMF sebagai pusat dakwah dan pusat pendidikan Islam kepada penduduk setempat di situ.

Pendakwah dari Turki yang memiliki BA, MA dan PhD dalam Bahasa Korea

Saya sempat menemui saudara Dr Hussein Janj, pegawai eksekutif KMF yang berketurunan Turki yang memiliki ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran (PhD) di bidang bahasa Korea. Dr Hussein yang telah berdakwah selama 16 tahun di Korea menyatakan bahawa semakin hari semakin ramai rakyat Korea yang memilih Islam sebagai agama mereka. Saban hari dan di hujung minggu terutamanya, semakin ramai rakyat tempatan yang datang ke masjid untuk mempelajari Islam dengan lebih dekat dan kemudiannya memeluk Islam. Melalui kelas pengajian ‘What Is Islam? yang dijalankan di Seoul Central Mosque sahaja telah berjaya menarik kira-kira seramai 150 orang memeluk Islam pada setiap tahun.


Sehingga kini perkembangan Islam di Korea Selatan cukup membanggakan apabila 10 buah masjid, 40 buah surau dan lima buah Pusat Islam telah didirikan di seluruh negara. Di antara masjid yang ada di Korea Selatan ialah di Seoul (1976), Pusan (1979),Anyang (1986), Jeonju (1986), Ansan (2001), Incheon Bupyong(2004), Paju (2005), Pochean (2005) dan Gwangju (2005).

Masjid di Pusan

Ada di antara surau-surau di negara itu yang dibina oleh para pekerja yang datang dari negara Arab, Pakistan dan Bangladesh tetapi ianya cukup bermakna kepada pembangunan Islam di negara Sonata ini.

Kekuatan umat Islam yang paling ketara ialah apabila setiap hari Jumaat, lebih 1,000 orang jemaah berhimpun menunaikan solat Jumaat di setiap masjid utama di seluruh Korea Selatan termasuklah rakyat asing dan pelajar-pelajar universiti yang datang dari negara luar.

KMF bukan hanya berperanan membimbing umat Islam, malah menyediakan perkhidmatan membekalkan daging lembu, kambing dan ayam untuk diedarkan di restoran yang menyajikan hidangan halal di seluruh Korea Selatan.

Kebanyakan daging lembu serta kambing yang dibekalkan oleh KMF biasanya diimport dari New Zealand dan Australia. Jadi masyarakat dan pelancong Islam tidak perlu merasa bimbang untuk mendapatkan makanan halal kerana KMF memainkan peranan mereka dengan baik.

Anggota Tentera korea yang memilih Islam sebagai agama

Walaupun setakat ini Islam tidak disekat atau dihalang di sini, namun ianya mempunyai cabaran tersendiri termasuklah hijab bagi wanita yang bekerja, makanan halal dan pendidikan Islam untuk generasi anak-anak mereka.

Umumnya, rakyat Korea adalah masyarakat yang mempunyai daya saing yang tinggi yang telah menjadi budaya kerja dan budaya hidup mereka. Rata-rata di kalangan mereka bekerja dengan penuh kesungguhan sejak awal pagi dan hanyalah pulang ke rumah menjelang lewat malam. Kesannya kini terbukti bahawa Korea Selatan begitu terkenal dengan kejayaan mereka yang telah menempah nama di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang termasuklah teknologi, ekonomi, sukan dan lain-lain lagi.

Kadar bunuh diri tertinggi di dunia

Namun begitu, kebanyakan rakyatnya jelas di dapati merasai kekosongan dari sudut rohaninya. Majoriti daripada mereka tidak mempercayai kewujudan tuhan dan tidak menganut sebarang agama. Sebagai contohnya, kadar membunuh diri di kalangan rakyat Korea adalah merupakan kadar yang tertinggi di dunia bersama Negara Jepun. Di sini, jelas kelihatan bahawa kemajuan dunia yang hebat tidak mempunyai apa-apa erti yang besar jauh apabila rohani masyarakatnyanya kosong daripada petunjuk Ilahi. Dengan berlalunya masa, cahaya Islam dilihat oleh masyarakat tempatan Korea semakin jelas mempunyai jawapan kepada erti kehebatan dan kecemerlangan kehidupan yang sebenar.

Cuba saksikan beberapa tayangan yang membuktikan betapa cahaya Islam semakin berkembang di bumi Sonata ini.

Anak muda Korea membaca al Quran


Islam di Korea


Semakin terbukti bahawa cahaya Islam kian mekar berkembang ke seluruh pelusuk alam dengan dakwah Islamiah yang disebarkan.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allah Akbar.

Salam perjuangan

Seoul yang sejuk tetapi hangat dengan perkembangan Islam

Kisah Mualaf Dan Daging Babi

on Saturday, December 17, 2011
Pengalaman Dan Coretan Aliya (Mualaf)

"Babi sedapkah?"
"Apa rasanya?"
"Mengapa orang Cina suka makan daging babi?"

Apabila saya menceritakan kepada suami cara memasak 'Tao-Yu Bak' (Daging Babi masak kicap), resipi yang diwarisi daripada nenek saya, wajahnya akan berubah, geli gelaman dan loya. Biasalah orang Melayu, dibesarkan dari kecil untuk membenci babi. Tapi bagi saya yang hidup makan daging babi selama lebih 3 dekad, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sudah tahu tekstur daging itu, dan sudah boleh bezakannya daripada daging ayam serta lembu.

Setiap kali juga, apabila ditujukan soalan tentang pemakanan daging ini oleh mereka yang baru memeluk Islam kepada mereka yang lahir Islam, kebiasaannya akan disuruh elak. Haram makan makanan tidak halal. Dosa besar.

Tapi bagaimana nak elak makan sekiranya mualaf itu masih tinggal dan bergantung kepada keluarganya yang bukan Islam, serta sudah menjadi kebiasaan makan bersama? Nak makan daging? Daging bagi keluarga Cina dan Hindu adalah daging babi, bukan daging lembu. Mana boleh makan, haram. Nak makan ayam yang tidak disembelih cara Islam, haram juga. 

Habis nak makan apa? Ikan? Tapi.. kata ustaz kalau makanan dimasak dalam periuk atau kuali yang tidak disamak tetap haram hukumnya. Tidak boleh dimakan.

Tao-Yu Bak


Habis, nak makan apa? 

Ahhh, dilema yang dihadapi ramai mualaf yang masih belum mengkhabarkan pengislaman mereka kepada keluarga masing-masing. 

Mengapa belum?

Kerana kebanyakan mereka golongan pelajar sekolah dan kolej, mahasiswa, atau yang tidak ada pendapatan tetap atau kediaman lain. Mereka yang bergantung kepada keluarga untuk sara hidup, pendidikan dan tempat perlindungan.

Bila mereka nak beritahu keluarga bahawa mereka dah Islam?

Entah, mereka masih mencari jalan. Masih berikhtiar untuk menyampaikan berita tersebut dengan lembut. Kerana tahu bahawa kelaurga tidak akan merestui pengislaman mereka.

Perlu mengambil masa, agar tidak terputus hubungan kekeluargaan. Agar ibu bapa yang sudah tua dan uzur tidak diserang sakit tenat akibat terkejut dan sakit hati dengan berita tergempar itu. 

Tapi bagaimana mereka nak hidup sebagai orang Islam kalau belum beritahu keluarga? Kalau sudah peluk Islam, kenalah beritahu. Haram makan makanan tidak halal. Wajib mengerjakan solat. Kena puasa pada bulan Ramadhan. Yang wanita, perlu jaga aurat. Apa status mereka?

Itulah masalahnya. Anda dilahirkan sebagai sebagai orang Islam, anda tak alami sendiri masalah mereka yang baru memeluk Islam. Mereka yang kita gelar 'closet Muslim' atau 'mualaf sembunyi' kerana belum mengisytiharkan pengislaman mereka. Ramai yang muda belia. Mereka berani kerana memeluk Islam setelah belajar Islam dan benar-benar yakin bahawa Islam agama benar, dan walaupun mereka mungkin menghadapi amcaman dihalau oleh keluarga masing-masing dan ditamatkan pembiayaan pengajian kolej atau universiti sekiranya keluarga mereka mengetahuinya.

Mereka ini semakin ramai tetapi kerana ada yang belum mendaftarkan diri sebagai orang Islam di jabatan agama Islam, kita tiada data. Tak dapat dikesan kecuali mereka sendiri memberitahu.

Makanan? Terpaksalah mereka pandai-pandai pilih makanan yang halal. Berusaha mengelak daripada makan daging babi bila bersama keluarga. Kita boleh dengan mudahnya berkata bahawa berdosa makan makanan yang tidak halal tetapi ingatlah bahawa mereka yang baru berstatus mualaf "sembunyi" tidak ada banyak pilihan, terutama bagi mereka yang keluarganya kuat beragama atau berpegang pada adat resam. Mengaku orang Islam bermakna bakal dihalau dari rumah, terputus hubungan kekeluargaan untuk sementara waktu, dan akan mengakibatkan keluarga sendiri dipulaukan dan dikecam hebat oleh jiran dan saudara mara yang juga bukan Islam.

Solat? Yang sudah belajar akan cuba lakukan secara sembunyi-sembunyi. Satu risiko. Yang muslimah, mungkin terpaksa solat dengan skaf panjang dan kain batik menggantikan telekong kerana kain telekong bukti nyata bahawa mereka sudah Islam. Yang belum pandai solat dan berisiko tinggi, hanya mampu berzikir dan berselawat. 

Puasa? Sama juga, yang dapat berpuasa akan berusaha untuk puasa. Yang sudah menjadi kelaziman makan tengah hari dengan keluarga, tahu-tahu sahaja. Sudah tentu mereka sedih kerana tidak mampu berpuasa seperti muslim yang lain. InsyaAllah, mereka akan bayar fidyah apabila berjaya hidup bebas nanti.

Sampai bila nak diamkan diri? Hidup dalam kepuraan? Mereka kena beritahu keluarga!

Sampai mereka bersedia untuk memberitahu. Atau sehingga Allah swt tentukan sendiri bahawa masanya sudah tiba untuk keluarga mengetahuinya. Kalau anda anggap hidup dengan membohongi keluarga tersayang sebagai satu kesalahan dan satu dosa yang tidak patut dilakukan oleh Muslim, bayangkan pula tekanan batin mereka yang melaluinya.
Kena pilih antara cara hidup Islam dan keluarga yang masih kafir. Menghitung hari sehingga mereka dapat berdikari dan bebas hidup sebagai orang Islam.

Saya pernah tujukan permasalahan ini kepada beberapa orang kawan dan ustaz yang saya kenali, yang lahir Islam. Jawapan mereka adalah perlu beritahu keluarga. Tak ada jalan lain.

Jawapan saya kepada mereka yang bertanya (pendapat saya), berusahalah hidup sebagai orang Islam setakat mana yang termampu. Sentiasa berdoa dan memohon ampun daripada Allah. Elakkan makanan yang tidak halal atau sekurang-kurangnya kurangkan pengambilan. Dapatkan sokongan moral dan nasihat mereka yang memahami agar diri tidak terlalu tekanan dengan kehidupan dua identiti ini. Sambil-sambil itu, berikhtiar juga agar dapat memberitahu keluarga tentang pengislaman masing-masing dengan cara terbaik. 

Kita yang sudah Islam selalu beranggapan bahawa tugas membantu golongan mualaf dan mereka yang berminat pada Islam adalah tugas dan tanggungjawab NGO dan agensi Islam. Tanggapan itu perlu dikikis kerana kerap kali, (maafkan saya) pertubuhan begitulah yang sering merosakkan nama baik Islam. Ada segolongan pegawai yang cepat membuat andaian (peluk Islam mesti nak kawin, mudah menghukum halal-haram, tak boleh itu dan ini, kena buat begini kalau tidak tak sah solat bla3), cakap tak serupa bikin (mewakili nama Islam tetapi bercakap kasar, acuh tak acuh dan tidak sabar).

Mualaf 'sembunyi' lebih memerlukan sokongan moral dan bantuan kewangan (bagi yang masih menuntut) supaya mereka lebih bersedia dan berani mengisytiharkan pengislaman mereka dengan lebih awal. Mereka tidak perlukan tekanan lagi dengan kita memberitahu bahawa tindakan mereka terus makan babi bersama keluarga dan meninggalkan amalan lain adalah berdosa.

Kita sering menganggap permasalahan mereka sebagai perkara lekeh dan kecil, yang dibesar-besarkan. Selalu kita tegaskan, kalau dah Islam kenalah buat cara Islam. Tak alami maka tak ketahui, seterusnya tak fahami, tak dapat berempati.

Ia sama seperti seorang yang tidak pernah dibedah, tentu sekali tidak akan tahu bagaimana sakit anggota badan setelah ubat bius habis, betapa susahnya menjaga luka agar tidak dijangkiti kuman. Hanya boleh membuat teori dan andaian. Mudah menyalahkan pihak lain dengan tuduhan sengaja mengada-ngada.

Janganlah kita golongan seperti itu. Letakkan diri kita di tempat mualaf 'sembunyi'. Sekurang-kurang yang boleh kita lakukan adalah mendoakan mereka agar Allah perkuatkan iman mereka. 

Sekurang-kurangnya mereka ini walaupun belum dapat mengisytiharkan diri sebagai orang Islam, mereka sudah beriman pada Allah swt. Mereka berusaha untuk mendalami Islam, makan makanan halal, mendirikan solat dan puasa. Tidak seperti golongan tertentu yang beridentitikan Muslim tetapi dengan rela dan sukacitanya menghirup arak, makan daging babi, meninggalkan solat dan berpesta makan pada siang Ramadhan.

Nabi s.a.w mengambil masa bertahun tahun lamanya uantuk membina keimanan dan akidah. Sedangkan pada waktu itu para sahabat masih lagi meminum minuman yang mengharamkan dan memakan makanan yang mengharamkan. Contohnya ada sahabat yang bersolat dalam keadaan mabuk tetapi Nabi s.a.w. tidak menegur sehingga Allah s.w.t. menurunkan ayat mengharamkannya.

Ramai penda'ii mengislamkan yang bukan Islam terus mengharap si Mualaf fi Qulub itu meninggalkan segala yang diharamkan dan terus pandai bersolat. Mereka ingin si-mualaf terus menjadi seperti orang orang Melayu disekeliling mereka. Masyarakat berterusan memberikan tekanan emosi dan mental keatas mualaf dan saudara baru. Masyarakat menjadikan saudara baru itu Melayu lebih dari Islam dari segi berpakaian, pemakanan, percakapan, tingkah laku dan sebagainya.

Followers

Some Memories

Dia Kekasih Allah